Search This Blog

BUKAN CINTA BIASA ...

Dipegang jubah suaminya.  Matanya yang jernih merenung sayu.“Apakah ini kerana Allah?” tanya  hampir berbisik.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab  suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.
Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa  lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi.  Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah,  aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati  Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.
Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi  Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang  kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan  dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih  tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya.  Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini  dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.
Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita  ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim  yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan  sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah  pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan  membisu seribu bahasa…
Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana  Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi  Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan,  “kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama  sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar.  Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh  suaminya kerana Allah. Bila kerana Allah, tenanglah hati Siti Hajar…  Tuhan pasti tidak akan mengecewakannya. Suaminya tidak akan  menganiayanya.
Bertemu kerana Allah, berpisah pun kerana Allah.  Itulah tradisi dalam cinta para solihin dan muqarrabin. Dan iktibar buat  kita, untuk mengekalkan cinta dalam rumah tangga inilah juga teras dan asasnya.  Jangan ada “kerana” yang lain. Jika ada yang lain, pasti cinta itu  tergugat jua walaupun bagaimana teguh sekali pun janji dan peneguhan  kata yang pernah dimeterai. Untuk mengekalkan cinta, ini sahaja  prinsipnya – berbuatlah apa sahaja kerana Allah. Lurus, tulus dan telus  tanpa belok dan bengkok.
Sekalipun terpisah, namun cinta Nabi Ibrahim dan Siti  Hajar tidak pernah luntur. justeru kedua-dua berpegang kepada asas cinta  yang kekal… cintakan Allah. Dan bila mereka bertemu kembali, beberapa  tahun kemudiannya, cinta itu teruji lagi. Kali ini Nabi Ibrahim  diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.  Nabi Ibrahim tekad, Ismail mesti dikorbankan. Tetapi bagaimana Siti  Hajar?
Siti Hajar teruji lagi. Nilai anak bagi seorang ibu,  kekadang melebihi nilai suami kepada seorang isteri. Ikatan hati antara ibu dan anak jauh lebih  teguh dan kukuh daripada ikatan suami dan isteri… begitu kekadang  pakar-pakar psikologi mengungkapkan. Namun itu sedikit pun tidak  menjejaskan jiwa Siti Hajar, sekali lagi “jika itu kehendak Allah” dia  pasrah. Allah tidak akan mengecewakannya. Siti Hajar rela “kehilangan”  anak dan suami berkali-kali. Seperti air zam-zam yang menyuburkan lembah  Makkah yang gersang maka begitulah iman yang memperkasa jiwa Siti  Hajar. Sekali lagi dia rela dan tega.
Ah, agungnya sejarah itu. Namun di mana asas kekekalan  cinta itu masa kini? Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji  hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta.  Tetapi sebaik musim bulan  madu berlalu, cinta semakin hari semakin terhakis. Dan akhirnya  usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun sudah tidak mampu lagi.  Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan dengan tingkah laku  suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga. Akhirnya, perceraian pun  tidak dapat dielakkan lagi.
Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami  dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak  wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang  dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam  sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin  ketara segala kelemahan dan kesalahan.
Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta  ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan,  tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami  sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka,  keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan,  tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…
Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan  dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga  ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana?  Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku  membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya  yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu  kerja lagi, gerutu hati isteri.
Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian  bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang  ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin  meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya  lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!
Jiwa  yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh apatah lagi masalah yang  memang besar. Bila di hati tidak ada lagi “kerana Allah”, rumah tangga  akan semakin goyah. Di dalam hati sudah timbul bibit-bibit ingin  berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya talak bersendikan syarak  atau berpisah secara sepi, dengan putusnya ikatan cinta tanpa kemesraan  dan keharmonian hati.
Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah.  Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika  begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah  pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup  segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar sekah asalkan tak  patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.
Mereka  yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau  dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?).  Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari  sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin  merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia,  sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku  bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan  sahaja…
Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib  baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan  perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan  setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar degan perkahwinan  yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil  keputusan untuk bercerai!
Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat  dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam  iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah  bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang  berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama…  tetapi oleh orang yang sabar.
Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita,  belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia  pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan  marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana  kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri  kehendaki.
Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun  tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa  mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah,  ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk  diselesaikan. Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang  dapat diselesaikan dan ada yang tidak.
Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat  diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.”  Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikan…  Mengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu  dan bergantung kepada-Nya.
Oh, rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan  kita untuk kita saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah  masing-masing. Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui  kita. Inilah yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumah  tangga Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka  itu bukan cinta biasa!
Published with Blogger-droid v2.0.9

No comments:

Post a Comment